Skip to main content

TINTA MUTIARA KATA

TINTA MUTIARA KATA

KETUA PENGARAH PENDIDIKAN TINGGI

YBHG. DATUK PROFESOR DR. AZLINDA AZMAN

Assalamualaikum Warahtmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kesempatan yang diberikan olehNYA bagi mencoret sepatah dua kata mutiara penghargaan dalam penganjuran sulung Pentas Pidato Kesejahteraan Mental (PENTAL) USM 2024: Piala Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, bersempena Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Tahun 2024, anjuran Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM).

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada USM atas inisiatif yang baik dalam memperkasakan kesedaran kesejahteraan mental. Seperti yang diketahui, isu kesihatan mental kian dibincangkan berikutan peningkatan kes-kes seperti depresi, gejala bunuh diri yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Usaha pelaksanaan PENTAL USM 2024 ini dilihat sebagai ruang dan alternatif yang berkesan dalam menyampaikan mesej dan informasi berkaitan pendidikan kesihatan mental, khususnya kepada staf yang berkhidmat di Universiti Awam dan Swasta serta agensi-agensi lain di Malaysia. Kejituan dalam menjayakan projek PENTAL ini membuktikan komitmen dan kerjasama padu warga kerja USM untuk menyampaikan mesej pendidikan ini demi memastikan potensi staf di setiap organisasi dapat terus dibangunkan selaras dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan masyarakat.

Pembangunan dari aspek kesejahteraan hidup amatlah penting dalam memastikan kelangsungan dan pertumbuhan yang berkesan ke arah membangunkan staf yang sihat serta mampu menjalankan peranan yang baik di persekitaran kehidupan masing-masing. Tenaga warga kerja di semua organisasi amatlah berharga dan menjadi tulang belakang kepada kecemerlangan produktiviti masyarakat di Malaysia pada hari ini.

Kebersamaan dalam menjayakan PENTAL ini turut dilihat sebagai wasilah bagi mengelakkan sebarang keciciran mesej pendidikan kesihatan mental, di samping menekankan kepada kepentingan dan keperluan sokongan psikososial kepada semua warga staf dan pelajar IPT serta masyakarat di Malaysia. Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) selaku pengemudi utama kepada semua Institusi Pengajian Tinggi amat menghargai usaha, budi serta peranan semua warga demi pembinaan masyarakat sejahtera di negara tercinta kita, Malaysia.

Syabas sekali lagi kepada USM atas inisiatif ini, semoga penyertaan semua IPTA / IPTS dan agensi-agensi yang dijemput dapat menyumbang kepada pencapaian objektif PENTAL USM 2024. Didoakan agar segala gerak kerja yang dimainkan oleh semua pihak dapat membawa lebih kecemerlangan dan kesejahteraan masyarakat sejagat.

Terima kasih.